Thursday, May 15, 2008

Karpal Singh? Apa Dah Jadi?

Saya rasa tertarik untuk menulis mengenai pemimpin kanan DAP yang seorang ni. "Glamour" betul beliau sejak akhir-akhir ini ekoran kenyataannya yang telah disalahertikan oleh sesetengah pihak sebagai menderhaka kepada Sultan Perak dan Yang DiPertuan Agung. Sekadar ingin memberi sedikit pandangan, rasanya kali ini Karpal seolah-olah telah tersalah langkah kerana telah menyentuh sensitiviti kaum Melayu yang meletakkan kedudukan Sultan diperingkat yang tertinggi dalam negara ini. Apa perlunya beliau untuk membangkitkan perkara ini dalam keadaan kerajaan Pakatan Rakyat sedang membina pengaruhnya dikalangan masyarakat. Biarpun Karpal sebenarnya tidak berniat untuk menderhaka kepada Sultan, namun sebagai peguam yang bijaksana beliau seharusnya sudah dapat membaca apa yang akan berlaku apabila beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.Bukankah sudah tertulis didalam salah satu Rukun Negara Malaysia sebagai perkara yang berbunyi:- "Kesetiaan kepada Raja dan Negara"? Inilah yang amat dinanti-nantikan oleh kerajaan sedia ada untuk dijadikan modal sebagai memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat. Adalah amat malang sekali apabila melihat senario sekarang sepertimana yang kita sedia maklum, UMNO sebagai parti politik yang semakin kehilangan taringnya kini begitu teruja memanipulasi kenyataan yang telah dibuat oleh Karpal. Bayangkan tak sampai "beberapa detik" sudah 20 laporan polis telah dibuat terhadap Karpal. Perdana Menteri sendiri telah mengarahkan kes ini diselesaikan dengan secepat yang mungkin seolah-olah kes ini lebih berat dari kes-kes berprofile tinggi yang lain sebagai contoh kes pembunuhan Altantuya yang sehingga hari ini belum selesai sehingga mempengaruhi hubungan negara ini dengan Monggolia. Kenapa tidak kes ini yang patut diberi perhatian. Itu belum lagi kalau dibandingkan dengan isu kain rentang "kami nak deris natang.". Bukankah itu lebih kurang ajar dan berlaku lebih dahulu dari kenyataan Karpal. Kenapa itu tidak pula dipersoalkan oleh Perdana Menteri? Apakah kerana ada sebab-sebab yang tertentu? Mengapa perlu ada "double standard" disini?Yang sebenarnya apa yang cuba disampaikan oleh Karpal itu pasti tidak akan disalahertikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekiranya beliau menggunakan ruang yang betul, maksud saya bukan secara terang-terangan begitu. Jangan ada yang cuba memutarbelitkan kenyataaan saya ini pula. Cuma dalam sesetengah hal sahaja saya menyokong beliau dan tidak pada sesetengah yang tertentu. Saya juga ingin tahu siapa yang menyediakan teks ucapan Yang DiPertuan Agung sepertimana yang telah disoal oleh Karpal. Kenapa susah sangat kerajaan nak jawab? Namun saya sama sekali tidak bersetuju apabila beliau mula menggunakan perkataan "apa hak Sultan untuk mengarahkan MB Perak menarik balik penukaran pegawai JAIP?" Sesungguhnya ayat itu benar-benar mengguris hati orang Melayu. Saya sendiri tatkala pertama kali mendengar berita ini berasa sedikit tersinggung kenapa Sultan Negeri tempat saya diami ini diperlakukan sedemikian rupa? Dalam hal ini Karpal harus ingat bahawa apabila sesuatu perkara mula membabitkan hak Raja-Raja Melayu seperti yang telah termaktub didalam perlembagaan, semua orang melayu tanpa mengira parti politik akan berusaha untuk mempertahankan hak Sultan. Saya akui kehandalan karpal dari sudut pengetahuan undang-undangnya, namun perlukah Sultan diperlakukan sedemikian rupa? Ada baiknya Karpal segera mohon mengadap Baginda sepertimana yang telah dilakukan oleh MB Perak sendiri.Saya percaya bahawa Encik Karpal Singh bukanlah seorang yang keras hati, ini telah terbukti apabila beliau telah menarik balik laporan polis yang telah beliau buat terhadap seorang remaja baru-baru ini. Beralah tidak semestinya kita kalah. Yang penting biar isu ini diselesaikan secepat yang mungkin. Kasihan saya melihat wakil rakyat dari PAS dan PKR yang berada dalam dilema ketika ini.Jangan hanya kerana perkara ini, cita-cita Pakatan Rakyat untuk menguasai kerajaan pusat akan tinggal mimpi sepertimana sesetengah koridor mimpi yang ada sekarang ini. Saya sebagai rakyat Malaysia yang menginginkan pembaharuan tidak mahu terus lagi berada dibawah kerajaan sedia ada. Bukan menidakkan kebaikan yang telah kerajaan taburkan selama ini, tetapi dalam keadaan politik semasa ini saya lihat lebih banyak buruk dari baiknya. Jadi adalah menjadi harapan saya dan berjuta rakyat Malaysia yang lain agar Pakatan Rakyat dapat memperkasakan parti anda. Perkara pokok yang mesti dimulakan sekarang adalah bersatu dalam erti kata yang sebenar. Akhir kata untuk Karpal sekiranya anda terbaca tulisan ini, "ingat kadang-kadang satu kesilapan yang kita lakukan boleh menutup beribu kebaikan yang telah kita lakukan dalam hidup ini". Manusia terlalu mudah menghakimi seseorang dengan kesalahan yang dilakukan. Oleh itu berwaspadalah dalam apa keadaan sekalipun....sekian Wasssalam.


No comments:

Post a Comment