Sayu saya apabila menatap wajah Raja Petra Raja Kamaruddin yang terpampang di muka hadapan akhbar Berita Harian bertarikh 7 Mei 2008. Nampaknya kini bukan sahaja Ahli Pakatan Rakyat sahaja yang "ditekan" oleh pihak yang tertentu, malah kini tempiasnya sudah mula memercik ke arah penyokong kuat Pakatan Rakyat pula. Tindakan mendakwa Raja Petra Raja Kamaruddin di bawah Akta Hasutan dilihat sebagai satu lagi provokasi pihak kerajaan yang dilihat tidak mahu berkompromi dengan apa yang diperjuangkan oleh rakyat dinegara ini iaitu hak untuk "kebebasan bersuara". Hanya dengan menjadi penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin telah dilayan sedemikian rupa. Pernahkah mereka memikirkan nasib isteri dan keluarga beliau selepas ini? Amat memilukan apabila mengetahui bahawa beliau tidak mampu untuk membayar wang jaminan sebanyak RM 5000 ringgit. Akibatnya beliau terpaksa ditahan di penjara sungai buloh sementara menunggu tarikh perbicaraan pada 6 oktober nanti. Kenapa "mereka" ini takut sangat dengan penulis blog dinegara ini? Pasti ada yang akan merasa ragu-ragu untuk meluahkan pendapat mereka didalam blog masing-masing selepas ini. Nampaknya sedikit sebanyak provokasi mereka kali ini sedikit meninggalkan kesan. Namun pada saya adalah penting untuk kita menulis sesuatu yang lahir daripada hati, maka janganlah ditakuti dengan segala bentuk usaha untuk mematahkan semangat kita dalam menegakkan keadilan di bumi yang tercinta ini. Segala apa yang anda ketahui dan dirasakan patut untuk dikongsi bersama seharusnya terus dikongsi.Kita memang dahagakan kebenaran kerana kebanyakkan media arus perdana sekarang terlalu kuat sikap "kaki kipasnya", berat sebelah , memesong fakta asal dan macam-macam lagi yang sangat tidak disenangi kebelakangan ini. Berjuanglah demi kebenaran.....saudara dan saudari, ingat itu tanggungjawab kita.
Adakah dengan menulis rencana ini saya juga akan menjadi mangsa seterusnya untuk diheret dan didakwa dibawah akta yang sama? Apakah saya berasa takut ataupun tidak? Apa akan jadi dengan masa hadapan saya? Berbaloikah semua ini hanya kerana "beberapa patah perkataan" ini? Jawapannya adalah saya selalu bertawakal pada Allah. Apa gunanya saya menulis mengenai Qada dan Qadar bukti kebijaksanaan Allah didalam blog saya sekiranya hari ini saya "mengeletar" ketakutan dek kerana provokasi pihak yang bertentangan?
Sekiranya itu takdir hidup saya, akan saya menerimanya dengan tabah. Mohon Allah kuatkan semangat saya sekiranya itu yang terjadi. Kalau diimbas kembali Nabi Yusuf juga pernah dipenjara bertahun-tahun lamanya, wali-wali terkenal sebelum ini juga tak kurang hebatnya dugaan yang diterima namun mereka sabar dan akhirnya...ketenangan milik mereka. Sekirannya itu terjadi kepada saya, maka adakah saya layak untuk dikategorikan sebagai makhluk Allah yang teraniaya? Biarlah Yang Tuan Punya Dunia yang menilainya. Pada pihak yang bertentangan pula jangan gembira sangat, ingatlah janji Allah bahawa doa orang yang teraniaya itu tiada hijab bagi Allah. Maka fikirkanlah natijahnya nanti untuk "kamu" dimasa hadapan. Anda menyangka tipu daya anda telah berjaya dengan jayanya sehinggakan anda lupa bahawa Allah itu adalah sebaik-baik pembalas tipu daya. Kalau bukan detik ini, mungkin esok harinya, atau mungkin lusa dan seterusnya yang pasti hari itu akan tiba...dan saat itu penyesalan anda mungkin sudah tidak berguna lagi. Saya teringat dengan satu kisah yang saya baca didalam sebuah buku yang meriwayatkan kisah seorang penyair disebuah negara. Pada suatu hari penyair ini telah didatangi oleh pemimpin negara tersebut seraya menawarkan harta yang banyak serta jawatan yang penting kepadanya dengan satu syarat iaitu supaya penyair berkenaan berhenti dari menulis kritikan-kritikannya selama ini. Penyair berkenaan telah memberikan response yang cukup untuk membuatkan saya merasakan sangat terharu..penyair itu berkata...:-
"Ambillah semua harta benda kalian,
dan biarkanlah aku bebas merdeka asing tak dikenali,
kerana pada hakikatnya aku adalah orang yang paling bahagia
diantara kalian, meskipun kalian meninggalakan aku sendirian tanpa
memiliki sebarang harta...."
Cantik bukan jawapan penyair tersebut. Saya terus membeli buku berkenaan setelah membaca kisah penyair tersebut. Inilah kuasa Allah. Buku yang setebal beratus-ratus halaman itu apabila diselak oleh saya, telah ditakdirkan olehNya jari ini menyingkap muka surat yang mempunyai kisah yang sangat menginsafkan ini. Sesungguhnya hambaMu ini sangat bersyukur diatas kurniaMu YA Allah. Engkau terlalu baik terhadap diri ini. Cukuplah untuk kali ini pada hari ini. Salam permisi--Wassalam.
No comments:
Post a Comment