Sunday, June 9, 2013

Selepas 9 HARI

           
9 hari telah berlalu dan sepanjang tempoh itu aku begitu menikmati saat-saat di mana aku bisa akhirnya meluangkan waktu untuk melakukan perkara yang sememangnya menjadi keinginan aku selama hari ini. Tidak lagi terikat dengan waktu bekerja yang kadang membataskan keinginanku untuk melakukan aktiviti senggang seperti berjoging di tasik mini yang terletak indah di bumi Bandar Tun Hussien Onn. 

Sungguh... udara segar yang dapat kuhirup dengan nyaman amat membuatkan aku leka menikmatinya dengan penuh bermakna. Pilihan telah dibuat, kini masanya untuk tindakan menyusul pilihan. Sampai detik waktu dan tika saat ini keyakinan masih lagi berpaut teguh dalam relung hatiku. Hanya yang kuharap restu dan redha dari Tuan Punya Dunia....Amin.

Monday, May 6, 2013

Kita semua BANGSA MALAYSIA

Thanks Rafizi.... Dalam banyak bangsa kita yang terlalu mementingkan
perkauman, masih ada lagi insan seperti anda yang sanggup menyedarkan kami
betapa pentingnya rakyat dinegara ini bersatu tanpa perlu merasa takut dan tergugat dengan bangsa lain...hakikat mereka lahir dan membesar di sini sama seperti kita..
Aku sendiri dah bosan dengan sentimen perkauman yg sengaja dibangkitkan oleh UMNO dan BN... 


Bukalah mata wahai teman-teman...
Kita semua BANGSA MALAYSIA.

Demokrasi yang Hanya Pada Nama

Assalammualaikum....


Setelah lebih dari 4 bulan lamanya berdiam diri tanpa sebarang posting terbaru, kini tepat jam 1:59 minit pagi 06/05/2013 ku terjemahkannya dengan segala kesedihan yang bersarang di dalam benak perasaan yang sedang merintih hiba. Sayu dengan "kemenangan" yang akhirnya dipersembahkan dalam bentuk "kekalahan" dalam apa yang digelar sebagai demokrasi negara Malaysia yang tercinta ini. Tiada kata yang mampu terlafaz mudah saat pancaindera ini mendengar pengumuman dari pengerusi SPR yang dengan riak wajah yang tersenyum sinis mengumumkan kemenangan Barisan Nasional yang berjaya "memenangi" 112 daripada 222 kerusi parlimen yang melayakkan mereka untuk mendapat mandat bagi memerintah Malaysia dalam tempoh 5 tahun yang mendatang. Ntah  apa yang ada dalam fikirannya ketika itu? Mungkinkah beliau seronok melihat majoriti rakyat merasa gundah gulana dengan berita buruk yang baru disampaikan olehnya seketika tadi?

Sungguh mudah mengungkapkan perkataan sabar dan redha, namun untuk mengamalkannya dalam situasi yang sebegini membuatkan hatiku membantah secara senyap. Ada bisikan syaitan yang menghasut pendirianku. Mujur ada rakan-rakan dan guru yang sudi memberi nasihat yang berguna. Kupujuk jua hati yang terluka dengan hasil demokrasi versi Barisan Nasional yang sangat menghimpit Pakatan Rakyat selama ini. Sebagai rakyat marhaen yang cuma memberikan sokongan dari belakang sahaja sudah begini peritnya kepedihan yang aku rasakan, ntah bagaimana pula insan-insan pejuang yang selama ini tidak pernah mengenal erti jemu mendidik dan memberikan harapan kepada rakyat untuk memperjuangkan apa yang sepatutnya menjadi hak bersama di dalam negara inI rasakan.

Fikiran ini buntu mencari jawapan yang tak pasti. Namun di sebalik semua itu keyakinan ku kuat mengatakan akan ada sesuatu hadiah yang lebih baik telah disediakan oleh maha pencipta. Cuma bila masanya aku sendiri tidak pasti. Hanya dia yang maha mengetahui. Mereka boleh merancang 1001 penipuan tetapi ketahuilah Allah itu sebaik-baik perancang. Mungkin kelihatannya seperti kamu menang, namun tiada siapa yang pasti apa yang Allah telah persiapkan untuk kamu di masa hadapan. Terselamatnya salah seorang pemimpin utama Barisan Nasional dalam nahas udara semalam mungkin juga satu petanda atau peringatan dari Allah untuk hambanya. Beringatlah, kesempatan yang diberi untuk menghirup udara dibumi Allah yang indah ini jangan dipersia-siakan dengan mengabaikan amanah terhadap rakyat. Kalau pun benar tiada undang-undang di negara ini yang tidak boleh mempertikaikan kemenangan kamu, Ingatlah ada undang-undang yang perlu kamu hadapi di alam barzakh kelak. Masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan.

Untuk rakan-rakan yang di kala ini berkongsi duka dengan aku setelah menyaksikan episod demokrasi yang hanya pada nama ini  mungkin kalam indah dari Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man ini dapat menenangkan perasaan kalian yang sedang bergejolak,

Kadangkala kita nak rama-rama,
Allah bagi ulat bulu satu,
Allah bagi kita terima,
Mungkin nak suruh faham sesuatu.

Bersangka baik lah dengan Allah... :)







Saturday, January 12, 2013

#KL112 Perhimpunan Kebangkitan Rakyat - Di atas Padang Sejarah

Assalammualaikum,

Hari ni abang nak share pengalaman abang menghadiri #KL112 Perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang
telah berlangsung dengan jaya dan gilang gemilangnya di pusat Bandaraya Malaysia yang tercinta, Kuala Lumpur. 12 Januari menjadi saksi kebangkitan rakyat Malaysia yang begitu dahagakan sebuah kerajaan yang adil lagi saksama. Lebih dari 5 dekad lamanya Barisan Nasional diberikan peluang untuk mencorakkan negara ini mengikut kaedah mereka yang diwarisi dari generasi demi generasi. Rentetan dari masa pemerintahan yang lama itu lah kita semua dapat menyaksikan sedikit demi sedikit kuasa telah mengubah mereka. Hasil bumi negara ini dikaut dan diagih sesema mereka sehingga menjadikan mereka antara golongan yang terkaya di negara ini, manakala serpihannya pula terpaksa dikongsi oleh jutaan rakyat bawahan yang ada diantaranya tidak tahu langsung hak mereka telah dipertikai dan diperkotak-katikkan oleh sebuah kerajaan yang diamanahkan untuk menguruskan kekayaan negara. Mereka taksub dengan kuasa sehingga sanggup menggunakan apa sahaja cara demi memastikan diri terus memiliki mandat untuk memerintah negara ini meskipun dengan cara yang paling hina sekali.

Kemewahan membuatkan mereka leka sehingga menjadi sombong dan bongkak. Rintihan rakyat jarang sekali didengar. Negara ini telah menjadi negara Kapitalis. Kapitalis-kapitalis ini akhirnya turut serta mengerah keringat rakyat negara ini sedangkan titik peluh mereka  dibayar dengan harga yang murah. Untuk apa mereka menjadi wakil kepada rakyat jikalau perkara yang sebegini asas pun, tiada daya dan kuasa bagi mereka untuk mengubah keadaan.Rakyat ditindas dan diperbodohkan sekian lamanya...Namun kini ketahuilah wahai UMNO dan Barisan Nasional, kami anak-anak muda akan terus menyebarkan perilaku salah anda kepada orang ramai. Tembok kesabaran rakyat sudah pecah, rasakan BAH tsunami kebangkitan rakyat ini, kesabaran yang pernah kamu perlekehkan suatu masa dahulu, kini rasakanlah...rasakanlah...rasakanlah...rasakanlah...wahai raksaksa penindas.

Kamu boleh merancang seribu satu penipuan, tetapi jangan lupa Allah itu sebaik-baik perancang.

Abang bernasib baik kerana datang awal tadi, dan kerana itu abang dapat meloloskan diri masuk kedalam stadium yang penuh bersejarah itu buat pertama kalinya dalam hidup ini. Momen yang terasa indah tatkala melepasi pintu stadium...ketika itu hanya 10 peratus kekosongan didalam stadium disi dengan kehadiran lautan manusia yang berbaris panjang menunggu giliran untuk kedalam.Hairan juga mengapa cuma satu pintu pagar yang dibuka?????? Atau mungkin masa abang masuk sahaja keadaannya begitu? Apa pun bersangka baik sahaja. Sebaik melangkah kaki ke dalam abang mula berkira-kira nak duduk dimana. Sebagai antara golongan yang terawal masuk ke dalam pastilah kami memiliki kelebihan dalam memilih tempat duduk yang kami rasakan sesuai pada masa itu. Kalau diikutkan nak sahaja abang duduk kat tempat duduk berbumbung , tapi bila difikir-fikirkan, kalau duduk kat situ, macam mana nak tengok muka pemimpin berucap. Akhirnya abang putuskan untuk duduk bersila atas padang berhadapan dengan pentas, dan ternyata pilihan itu memang pilihan yang terbaik sekali. Cuaca petang tu juga seolah-olah merahmati majlis yang berlangsung...tidak terlalu panas, dan rintik hujan yang turun menjadi pendingin semulajadi kepada warga stadium yang berbumbungkan langit ketika itu.... Thank you Allah.



Majllis petang itu di mulakan dengan 3 individu yg mewakili 3 kaum utama negara ini iaitu saudara Mahfuz Omar, Saudara Loke dan Saudari Kasturi ( Maaf kalau salah ejaan). berkobar2 ucapan ringkas mereka membakar semangat kami di dalam dan di luar stadium. Diikuti dengan ucapan dari wakil beberapa NGO yang menyemarakkan lagi semangat kami disana. Sejujurnya air mata ini jatuh jua ketika mendengar ucapan mereka....terasa angin perubahan meyapa lembut wajahku....kalian semua bakal pemimpin yang akan merubah corak pemerintahan negara yang indah ini....Ada orang mengatakan abang suka feeling lebih...komen abang....Biarkanlah......
Hanya abang yang tahu macam mana perasaan berada didalam stadium ketika itu. Mungkin inilah yang dirasakan oleh nenek moyang kita sewaktu Pengisytiharan Kemerdekaan 1957 dahulu...dan kini abang berada di tempat yang sama memberi sokongan "memerdekakan" negara ini dari pemimpin korupsi yang dah terlalu lama berkuasa.

Majlis kemudian diserikan dengan  persembahan nyanyian penyanyi ITO dari "The Blues Gang" dengan lagunya "Ubah sekarang".
Memang happening masa ni sebab satu stadium buat "OMBAK". "Wa Caya Sama Lu Lah".

Kemudian giliran Sasterawan Negara Malaysia Pak A.Samad Said, mendeklamasikan sajaknya yang berjudul
"Di atas Padang Merdeka". Ironinya waktu itu abang tengah bersila atas padang, memang feeling lebih lah kan...

Usai persembahan daN ucapan dari kesemua NGO yang terlibat, kini tiba masanya saudara Lim Guan Eng untuk berucap mewakili Parti DAP. Hebat pemimpin muda ini berpidato...Ramai yang bersorak, ramai yang bertepuk tangan dan ramai juga yang mengagumi kepetahan Menteri Besar Pulau Pinang itu.

Masa berlalu dengan begitu pantas sekali, tak terasa kini tiba giliran Tuan Guru Haji Hadi Awang yang mewakili parti PAS. Assalammualaikumwarahmatullahhiwabarakatu... ( Ada getaran dalam nada suaranya...) Sebak Tuan Guru Hadi melafazkan salam kepada semua hadirin...ramai yang perasan, banyak juga jiwa yang tersentuh dan ku yakini tak kurang jua yang mula bergenang air di mata mereka, dan aku adalah salah seorang darinya...terasa keikhlasan Tuan Guru jauh di lubuk sanubari....Ya Allah, panjangkanlah umur pemimpin yang sebegini...sepertimana Lim Guan Eng...Mantan menteri Besar Terengganu yang merangkap Presiden Parti PAS ini juga punya aura yang tersendiri.Bicaranya bersahaja tapi tidak pula kurang isinya, Lembut bahasanya melambangkan kesantunannya...

Hingar dan bingar menjadi-jadi, tiupan trompet mini berkumandang bergema diseluruh stadium bagaikan sedang menyambut pesta, masa yang dinanti telah kunjung tiba, kini Dato' Seri Anuar Ibrahim pula mengambil tempatnya untuk berucap mewakili Parti Keadilan Rakyat. Apa lagi yang perlu dikomen mengenai beliau...pemimpin ini sudah terkenal seantero dunia, ramai yang mengakui kewibawaannya, ramai juga yang tahu akan kisah-kisah fitnah luar biasa yang dihadapinya.Biar diuji dengan pelbagai dugaan yang sangat berat namun beliau selalu berkata... LAWAN...TETAP...LAWAN. 

Seisi stadium dan mereka yang diluar mendengar dengan penuh minat. Janji-Janji pakatan rakyat mula bergema diruang udara Kuala Lumpur. Janji yang pasti ditagih oleh rakyat yang hadir...dan kami yakin janji itu tidak akan hanya tinggal janji....Berjanjilah wahai bakal pemimpin Malaysia...janganlah kuasa menggelapkan matamu....Kami disini memerhati dengan penuh Harapan. Jangan dimusnahkan harapan itu.
Jangan sekali-kali...Jangan pernah memungkirinya...
Ingatlah kembali masa-masa perjuangan lalu...
Hargai hasilnya Hari ini, esok dan seterusnya...

Penutup Majlis diserikan dengan bacaan doa dari Tuan Guru yang paling dihormati dan dikasihi... Tuan Guru Nik Aziz Bin Nik Mat. Amin.

SEKIAN CETUSAN RASA DARIKU, SEORANG PESERTA PERHIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT 12 JANUARI 2013.

#Coret-Coret Polis Di Raja Malaysia

- Dah prepare garam dengan ubat gigi sebagai penawar sekiranya kami disembur dengan gas beracun, tapi Alhamdulillah mungkin polis dah sedar dengan kesilapan mereka yang lalu. Hari ni polis jadi kawan peserta perhimpunan

- Dalam perjalanan balik semasa berjalan dihadapan balai polis kami ramai-ramai bersorak... "Polis...polis....Hidup polis..."
tulah kan...buat baik dibalas baik...

- Abang tengok muka-muka polis yang berkawal kat kawasan berbumbung macam insaf jer dengar penceramah berpidato---> Baguslah tu... :)


Extra > Sajak Dari  A.Samad Said,


DI ATAS PADANG SEJARAH



Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.
Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.
Diri kita padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyubur kuning berseri.


Kita—tenaga jati—gah berjuang demi keadilan;
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.