Saturday, December 11, 2010

Withoutyou Contest Mesti Join-Kisah Cinta

Jika Memang itu ketentuan-Nya
Aku membesar di perkampungan Felcra Changkat Lada. Satu daerah yang penuh kenangan manis waktu kecilku. Tok dan Tok Wan memainkan peranan sebagai ayah dan ibu kepada aku dan adik lantaran kedua ibu-bapa kami telah pun berpisah ketika usia kami masih kecil. Di perkampungan inilah aku mula mengenali erti persahabatan, ikatan kekeluargaan dan yang paling tidak aku sangka-sangka aku akhirnya mula mengenali apa itu erti kasih sayang atau lebih tepat untuk aku ungkapkan disini adalah CINTA. Mungkin juga perasaan itu sebenarnya hanyalah “seperti” CINTA. Tapi kesannya tetap sama. Aku hanyut dibuai perasaan yang sangat menyenangkan itu.


Kisah bermula ketika usiaku mula menginjak 14 tahun. Aku ditempatkan di kelas 2 Malinja. Dikenali sebagai salah seorang pelajar yang agak periang dan tak kurang nakalnya, aku dikelilingi oleh kawan-kawan yang sangat menyenangkan. Dipendekkan cerita, pada suatu hari, Teacher Shikin, guru bahasa Inggeris di sekolah kami telah berhasrat untuk menubuhkan satu team “Choral Speaking” bagi mewakili sekolah kami dalam satu pertandingan peringkat daerah Perak Tengah. Telah ditakdirkan aku akhirnya terpilih untuk turut serta dalam group Choral Speaking waktu itu. Agak aneh sebenarnya, kerana Bahasa Inggeris adalah salah satu subjek yang sangat aku tak suka waktu sekolah dulu. Biasalahkan, tipikal anak melayu yang hidup di kawasan kampung waktu itu memang selalu memandang remeh dengan subjek bahasa antarabangsa itu.

Pada awalnya aku macam acuh tak acuh je. “Choral Speaking” tu pun aku tak tau benda apa sebenarnya. Dari penerangan Teacher Shikin aku dan kawan-kawan akhirnya faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Choral Speaking. Ianya adalah seperti membaca sajak atau cerita dalam beberapa rangkap beramai-ramai. Satu group biasanya terdiri daripada 20 ke 30 orang dalam satu-satu masa. Kemudian Teacher Shikin yang bertindak sebagai penasihat kumpulan kami mula membahagi-bahagikan rangkap mana yang patut dibaca secara solo dan bahagian rangkap mana yang patut dilaungkan dengan lantang secara bersepadu dalam bentuk kumpulan. Langsung tak aku duga sebenarnya hati aku akan jadi sangat tertarik dengan Choral Speaking ni. Latihan yang kerap, hari demi hari makin menambahkan minat aku dengan Choral Speaking. Tapi sayang aku dah tak ingat kesemua rangkap dan ayat-ayat yang kami semua hafal sebelum ini. Cuma yang masih segar dalam ingatan aku hanyalah ayat ini “I think I can...I think I can....”. Tak silap aku mungkin itulah bahagian solo aku. Tajuknya aku memang dah lupa tapi ianya mengisahkan tentang seorang peniup seruling di daerah Berlin Jerman yang dengan tiupan serulingnya yang sangat merdu itu boleh memukau sekumpulan tikus yang berkeliaran dalam jumlah yang sangat banyak di bandar Berlin. Dia bertanggungjawab untuk membebaskan Bandar Berlin dari kumpulan besar tikus-tikus itu.


Dalam sesi latihan inilah aku akhirnya telah berkenalan dengan seorang yang selama ini hanya aku pandang sepintas lalu sahaja setiap kali dia melintasi kelas aku. Seorang yang selama ini mungkin telah beberapa kali terserempak dengan aku ketika kami sama-sama berbasikal bila pergi dan pulang dari sekolah. Seseorang yang selama ini aku sendiri tak tahu entah berapa kali rumahnya aku lewati setiap kali aku meronda-ronda di sekitar kampung. Seseorang yang aku sendiri langsung tidak menyangka akhirnya akan membuatkan hati aku mengalami satu perasaan yang sangat asing lagi aneh namun bahagia dan perit dalam masa yang sama.

Senang untuk memanggil dia sebagai Dara (Bukan nama sebenar). Aku tak tahu macam mana aku boleh terpaut dengan minah ni. Nak kata lemah lembut, tak lah sangat. Nak kata cantik.....memang manis pun dari pandangan mata aku. Yang aku tau aku memang suka tengok dia waktu dalam sesi latihan. Aku dibarisan belakang, dan dia pula ditempatkan dibarisan hadapan. Lebih memudahkan aku untuk melakukan kerja sambilan aku, iaitu menatap wajahnya, mendengar tawanya, dan kadang-kadang sengaja aku mencelah untuk join sembang sekali dengan geng-geng dia. Tapi sebenarnya lebih kepada rasa nak dekat dengan dia. Itulah agenda aku sebenarnya. Ku akui aku agak terpesona bila melihat matanya. Pada aku dia memiliki sepasang mata yang sangat cantik. Sedikit bercahaya tapi agak kuyu. Persis mata seorang anak gadis yang polos. Adakah perasaan itu hadir hanya kerana aku tertarik pada matanya, fizikalnya, sifat ramahnya atau kebaikannya? Anggaplah apa pun kerana aku sendiri tidak memiliki jawapan untuk persoalan itu. Yang aku tau hadirnya Dara dalam hidup aku telah mencambahkan benih rasa yang sekian lama tertanam disudut hatiku. Rasa yang menjadikan perasaan selesa meresapi jauh ke segenap tubuh badanku.

Hari-hariku berlalu dengan pantas, minggu berganti minggu. Masa yang ditunggu akhirnya tiba. Kami semua dibawa oleh guru pengiring bertolak menuju ke S.M.K.Dato’ Abdul Rahman Yaakob di Bota. Masing-masing gugup memikul amanah untuk mengharumkan nama sekolah. Teacher Shikin pastinya salah seorang yang sangat menaruh harapan pada kami. Dengan satu tekad dan harapan kami semua bersatu untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh, dan akhirnya persembahan kami telah melayakkan kami mendapat tempat kedua untuk Peeringkat Daerah Perak Tengah. Kami berjaya menewaskan beberapa sekolah yang lebih terkenal dari sekolah kami yang terletak agak tersorok dalam dunia Felcra waktu itu. Hati setiap dari kami berbunga-bunga kebanggaan kerana akhirnya kami berjaya mengharumkan nama sekolah kami meskipun hanya menduduki tempat kedua. OK sangat sebenarnya tu sebab hampir semua ahli terdiri dari mereka yang boleh dikategorikan “tak pandai” dalam Bahasa Inggeris. Teacher Shikin adalah orang yang sangat gembira dengan pencapaian kami. Tapi sebenarnya aku boleh mengatakan di sini bahawa aku adalah orang yang paling gembira hari tu. Sebabnya kenangan manis tu secara tak langsung berlaku melibatkan aku dan Dara. Adanya Dara menyebabkan aku merasakan kegembiraaanku berganda. Cukup setakat itu kisah aku dia dan Choral Speaking.

Sesiapa yang tak tau apa tu Choral Speaking
tengok video kat bawah.

Bayangkan aku kat belakang dan Dara dihadapan. he..he..he...





Masuk tingkatan 3 aku akhirnya diterima masuk ke kelas 3 Mahsuri kerana keputusan peperiksaan akhir tahun sewaktu tingkatan 2 aku agak baik.. Dari kelas Malinja akhirnya aku berjaya meloloskan diri masuk ke kelas 3 Mahsuri, iaitu kelas terbaik dalam setiap tingkatan. Waktu ni lagi aku rasa macam nak meloncat-loncat dalam kelas. Sebab akhirnya aku boleh duduk sekelas dengan Dara. Ini bermakna peluang aku untuk buat kerja sambilan aku sebelum ni lebih banyak. Ternyata apa yang aku harapkan akhirnya mula mebuahkan hasil. Aku makin rapat dengan Dara. Kami mula berkawan baik dan aku sangat menghargai detik-detik itu. Senyum, bahagia, gembira seronok dibuai perasaan yang julung-julung kali dirasakan.

Memang gila semua ini. Tapi ada yang lebih gila. Aku pernah simpan plastik pembungkus gula-gula dan keropok Twisties yang pernah dia makan. Kemuadian aku framekan dan simpan dengan baik dalam laci almari pakaian aku. Macam plastik tu penting sangat sebab ada kenangan dia untuk aku simpan. Dara tak tau pun aku buat kerja tu. Sengaja aku tawarkan diri nak buang plastik pembungkus tu. Tapi diam-diam aku simpan dalam kocek seluar aku. Ha..ha..ha... Memang kelakar bila ingat balik. Cinta monyetlah katakan. Sampah pun ada nilai untuk dijadikan kenangan. Tapi sayang mak cik aku dah buang plastik pembungkus tu. Masa tu aku ada kat bangi. Mungkin dia ingat benda tu sampah. Hakikatnya memang benda tu sampah dimata orang lain. Tapi tidak pada aku yang tahu sejarah plastik itu.




Ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Satu peristiwa hitam telah berlaku dalam titik sejarah keluarga aku. Sesuatu yang sangat peribadi untuk aku kongsikan disini. Yang pasti aku terpaksa berpindah dari Felcra Changkat Lada. Tanah tumpah darahku sejak dari kecil. Tanah tempat aku bermain guli, congkak, tuju tin, baling selipar jepun dan tak ketinggalan meriam tanah. Sesungguhnya bumi Changkat Lada itu sudah sangat sebati dengan aku. Kini secara tiba-tiba aku terpaksa meneruskan hidup disatu tempat yang asing bagi aku. Sedih, hiba, sayu mengiringi pemergianku meninggalkan Felcra Changkat Lada. Hari terakhir aku disana, aku sempat bertemu dengan Ayoi. Kawan baik yang hanya tinggal di belakang rumah aku. Pak Ngah Karim, ayah kepada Ayoi bersalaman dan memeluk aku dengan tangisan. Hati aku sendiri agak tersentuh. Ternyata lelaki separuh usia itu memiliki sisi lain yang tidak aku ketahui sebelum ini. Dia juga merasakan kesedihan aku kerana dia tahu apa yang berlaku.Pergiku tanpa aku ketahui bila waktunya akan kembali.Pergiku bermakna Dara jua harus kutinggalkan tanpa sempat aku meluahkan apa yang terbuku dihati.

Walaupun berjauhan, kami masih berhubung sebenarnya. Telefon dan surat menjadi jambatan penghubung komunikasi kami berdua. Waktu tu adalah tahun 1999. Tahun dimana penggunaan email baru hendak mula berkembang. Di Felcra Changkat Lada waktu itu satu Cyber Cafe pun tak ada. Bila selalu berutus surat aku mula merasakan yang perhubungan kami semakin istimewa. Tapi aku tetap aku. Lembab, lambat bertindak malu nak berterus terang. Ntah apa yang aku fikirkan waktu tu aku sendiri tak tau. Takkan perigi nak cari timba kan? Itulah masalah aku.terlalu suka memendam rasa seorang diri dan akhirnya cinta itu cuma bertepuk sebelah tangan.

Itu cerita 11 tahun yang lalu. Kali terakhir aku berhubungan dengan Dara lewat tahun 2004. Waktu tu dia belajar di sebuah universiti di Melaka. Kami dah mula berhubung melalui email waktu itu. Tapi satu peristiwa yang sangat buat aku rasa terkesan. Aku akhirnya berjaya meluahkan perasaan aku pada dia. Tapi itu pun guna email jer. Langsung tak “gentle” kan. Lama juga dia senyap. Aku makin berdebar-debar. Satu hari dia email aku dia cakap dia tak boleh terima aku lebih dari seorang sahabat. Lama aku terpaku depan PC. Malu ditolak seperti itu oleh Dara, itupun untuk kali pertama aku berterus terang akan maksud hati ini. Aku cuba tenangkan hati yang sebenarnya sedang bergelora waktu itu. Aku balas email dia. Aku cakap aku boleh terima penjelasan dia, dan biarlah kami cuma jadi kawan je. Tapi sebenarnya dalam hati aku masih kuat mengatakan bahawa dia pasti akan jadi milik aku satu hari nanti. Keyakinan aku itu akhirnya menjadi penyebab aku luka lagi untuk yang kesekian kalinya.

Email terbaru dari Dara membuatkan aku rasa lain. Rasa yang sangat lain. Dalam email tu dia mengirimkan beberapa keping gambar dia dan seorang lelaki yang aku sendiri tak kenal sedang bergambar mesra berdua. Tapi menurut dara itulah pujaan hati pengarang jantungnya. Dalam erti kata yang lain itulah boyfriend dia. Tanpa dijemput perasaan cemburu aku datang walaupun sebenarnya aku tak layak untuk mencemburui hubungan itu. Aku mula berfikir kenapa dia nak hantar gambar tu pada aku sedangkan dia sendiri tahu apa perasaan aku pada dia. Dalam sedetik cuma, aku merumuskan email kali itu sebenarnya adalah satu bentuk “penolakkan” . Mungkin dia nak aku putus asa dengan perasaan aku dan mula berhadapan dengan kenyataan sebenar yang antara aku dan dia cuma bersahabat baik. Akal singkat aku mula berfungsi. Tanpa berfikir panjang aku balas apa yang ditulis. Tapi kali ini adalah untuk yang terakhir kalinya. Aku membuat keputusan untuk undur diri dan sekali gus memutuskan perhubungan ini. Dan memang aku buat apa yang aku tulis. Dan sebenarnya, aku menyesal melakukan perkara bodoh tu....Dia tak bersalah dalam hal ini. Memang mencintai seseorang adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa, apa lagi dibuat-buat. Aku menghukumnya di atas kekecewaan ku sendiri. Aku menyesal....menyesal...menyesal.....sangat menyesal.

Kini tahun 2010. Zaman Facebook mula menguasai hampir seluruh umat manusia. Pencarian kawan-kawan lama menjadi sangat mudah. Melalui link yang ada di laman-laman sosial yang lain aku akhirnya dapat berhubung semula dengan Dara. Mulut cakap lain hati cakap lain. Aku masih rasa perasaan tu bila bercakap dengan dia. Tapi keadaan dah lain. Tak macam dulu, sekarang aku jadi macam blurr bila bercakap dengan dia...tak tau nak beri reaksi yang macam mana. Tapi baru-baru ni aku dapat tau di dah bertunang. Yang sebenarnya dia sendiri pun ada jemput aku datang sekali ke majlis tunang dia tu. Tapi aku tolak cara baik. Aku cuma janji dengan dia insyaAllah intuk majlis kahwin dia nanti aku datang. Keputusan pun dibuat, Sememangnya aku harus berpijak di bumi yang nyata. Ikhlas dan rasmi kini aku lenyapkan perasaan sayang tu kerana adalah haram bagiku untuk menyayangi dirinya lagi.

Mesti ada yang tertanya-tanya kisah cinta apa yang aku tulis ni? Tak pernah sekali pun aku betul-betul “couple” dengan Dara. Tapi ini sebenarnya adalah kisah Cinta aku. Cuma aku, diriku, hatiku, cintaku dan memang selalu selama ini hanya aku....Menyayangi dia pernah membuatkan aku memiliki perasaan itu. Untuk itu jutaan terima kasih dari aku untuk Dara kerana telah memberi pelajaran yang penting untuk aku. Ketahuilah tak pernah sekali pun aku membenci dirimu....engkau adalah sahabat terbaik pernah ada dalam hidup aku. Engkau adalah sebahagian dari hidup aku dahulu....dan semua itu kini cuma SEJARAH yang akan aku kenang dan bakal aku jadikan panduan untuk kisah “CINTA” aku yang seterusnya. Masih mencari dan berharap akan menemui insan itu secepat yang mungkin. Kali ini aku tak mahu lagi menjadi Lembab untuk mengaku tentang maksud hati aku. InsyaAllah. Semoga aku dipertemukan dengan jodoh yang sebaik “Anna Althafunnisa”. Siapa Anna Althafunnisa? Para pembaca Novel dan penonton filem “Ketika Cinta Bertasbih” mesti kenal dengan nama ini. Kepada yang tak kenal, pergilah baca, atau tak pun tonton je filem tu. Kalian akan memahami apa yang aku maksudkan. Hampir setiap lelaki mahukan sifat yang ada pada “Anna Althafunnisa”.



Pun begitu aku sendiri sangat menyedari bahawa aku pun bukannya baik sangat. Tapi akal fikiranku jua masih mampu menilai yang diri ini jua bukanlah seorang insan yang jahat. Siapa pun bakal pendamping hidupku kelak, ketahuilah, hati dan perasaan ini akan aku tukarkan dengan kasih sayang dan kesetiaan yang paling layak untuk dirimu....Siapa pun Dikau.......Amin Ya Rabbal Alamin.

DULU BILA DENGAR LAGU NI AKU SELALU HARAP KISAH AKU DAN DARA AKAN JADI NYATA SEPERTI LAGU NI

sedikit petikan lirik "ku yakin telah tertulis...kita masih belum berpunya...mungkinkah kau dicipta untukku, kupula untukmu...ku yakin akan tertulis antara kau dan ku kan bercinta...cuma aku kian pasti kini melakukan sesuatu...."

TAPI BILA AKU DENGAR LAGU KAT BAWAH NI, AKU AKHIRNYA FAHAM APA YANG DARA CUBA SAMPAIKAN....MAAFKAN AKU SAHABAT KERANA MENGAMBIL MASA TERLALU LAMA UNTUK MEMAHAMI MAKSUD HATIMU...MAAFKAN AKU...





Wassalam.

1 comment:

  1. wow!
    terdiam baca kisah cinta kamu...

    terus masuk dlm jantung..huhu

    Xpe, asalkan dia bahgia, insyaAllah kamu akn bahagia juga.. kamu ada ciri2 pencinta yg agung.. :)

    ReplyDelete